Sebenarnya, tak habis lagi pengetahuan kita tentang buah-buahan tempatan kerana terdapat banyak lagi buah-buahan yang hanya ada di Borneo, yang ramai belum ketahui.
Sekiranya anda berpeluang berkunjung ke Borneo (Sabah ataupun Sarawak), jangan lupa untuk merasai keenakan sejenis buah yang sangat harum baunya tetapi masam rasanya. Buah ini adalah Buah BAMBANGAN, ada yang menyebut sebagai Mambangan atau Embangan.
Buah Bambangan atau nama saintifiknya “Mangifera pajang” memang tidak asing lagi di Borneo.
Buah ini juga dikenali sebagai mangga liar (wild mango). Ia dikategorikan sebagai satu keluarga dengan buah mangga dan kuini. Cuma buah ini merupakan species mangga liar yang terbesar. Berat sebiji buah dikatakan boleh mencapai 3-4 kilo sebiji.
Kulit buah bambangan sedikit tebal jika dibandingkan dengan lain-lain jenis “Mangifera” (mangga). Hendak mengupasnya pun ada caranya. Warna isi buah ini memang menarik membuatkan anda tidak sabar untuk merasainya.
Di Sabah, adalah menjadi kebiasaan Buah Bambangan yang muda dijerukkan dan dimakan bersama nasi dan sambal belacan. Buah Bambangan yang sudah masak, boleh dijadikan ulam-ulaman dengan dicicah cili dan garam….
Sekiranya anda berkunjung ke pulau Borneo, jangan lupa membeli Buah Bambangan.